Thursday, December 23, 2010

Sejuta pengundi dari kaum India jadi agenda MIC: Palanivel

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Presiden MIC yang baru dilantik Datuk G. Palanivel hari ini menyenaraikan beberapa agenda kritikal yang perlu digerakkan tahun depan, antaranya ialah untuk mendapatkan sokongan sejuta pengundi dari kalangan kaum India sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau berkata usaha ini dikenal pasti sebagai amat penting bagi memastikan parti kekal relevan dalam memperjuang isu-isu komuniti, di samping ia memiliki lebih banyak kelebihan dalam kerajaan.
Katanya walaupun kaum India adalah suatu komuniti kecil dalam negara, namun kaum ini merancang unntuk menjadi komuniti yang mantap strukturnya, dan dengan meningkatkan jumlah pengundi berdaftar yang baru, ia akan membuktikan bahawa MIC relevan kepada komuniti India.
“Sekiranya MIC mempunyai kuasa yang lebih kukuh dalam kerajaan, ia akan dapat menggerakkan lebih banyak usaha bagi menambah baik kehidupan kaum India, seperti meraih sokongan untuk mendapatkan peruntukan perbelanjaan yang lebih,” katanya kepada kerajaan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC di Kelab Darul Ehsan, di sini hari ini.
Antara agenda yang diketengahkan oleh Palanivel ialah untuk menggembleng kekuatan anggota parti di semua cawangan.
Palanivel berkata CWC mendapati wujud beberapa keadaan di mana beberapa anggota berdaftar, sebaliknya mengundi di kawasan lain daripada tempat di mana namanya didaftarkan dalam parti.
Beliau berkata menerusi rancangan penstrukturan semula, semua data pengundi akan dihimpun dan didaftar di peringkat tempatan, berdasarkan kepada pelbagai maklumat seperti tempat lahir dan sebagainya.
“Kami juga akan mulakan program menambah anggota di mana setiap pemimpin akan berjumpa sendiri dengan anggota peringkat akar umbi, dan pada masa yang sama, mula menghimpun semua maklumat yang berkaitan dengan komuniti India.
“Setiap data akan dikutip menerusi satu sistem teratur termasuk gambar, alamat, nombor telefon, blog... semuanya,” katanya.
Ditanya sekiranya semua anggota yang dipecat akan diterima balik Palanivel mengulangi pandangannya bahawa beliau sanggup bekerjasama dengan sesiapa jua demi komuniti kaum India.
“Saya memang alu-alukan kerjasama mereka, anggota yang meninggalkan parti, yang dipecat, malah pemimpin Hindraf sekalipun. Namun saya tidak punyai kuasa yang lebih besar dari perlembagaan parti. Saya harap bekas anggota parti akan terus bekerjasama dengan kami dan tunggu sehingga masa yang tepat untuk sertai parti,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment